Ahad, 14 April 2013




Sistem Pengangkutan Udara

KLIA
Malaysia mempunyai jumlah 58 buah lapangan terbang, 36 di Timur Malaysia dan 22 di Peninsular Malaysia. Selain itu, Malaysia juga mempunyai 8 buah lapangan terbang antarabangsa. Antara lapangan terbang antarabangsa yang ternama ialah KLIA (Kuala Lumpur International Airport/Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur). KLIA merupakan salah satu hab penerbangan yang terpenting di rantau Asia Tenggara. Ia terletak di daerah Sepang, Selangor dan hampir 50 kilometer jaraknya dari ibu negara, Kuala Lumpur. Lapangan terbang ini boleh menampung sebanyak 35 juta penumpang setahun dan 1.2 juta tan metrik kargo dalam fasa pembinaannya sekarang. Lapangan terbang ini telah menduduki tempat yang ke-13 di dunia dari segi bilangan penumpang asing di mana sebanyak 24,129,748 penumpang telah menggunakan lapangan terbang ini pada tahun 2006. Pada tahun yang sama, lapangan terbang ini juga telah mengendalikan 677,446 tan metrik kargo untuk menduduki tempat ke-30 di dunia dari segi pengendalian kargo. 


Slogan lapangan terbang ini ialah "Membawa Dunia Ke Malaysia Dan Malaysia Ke Dunia" (Bringing the World to Malaysia and Malaysia to the World). Lapangan terbang ini berkonsepkan "lapangan terbang dalam hutan dan hutan dalam lapangan terbang". Keadaan ini dapat memberi ketenangan kepada penumpang dan memperkenalkan suasana hutan Malaysia kepada pelancong luar negara.KLIA mempunyai satu Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) yang mula beroperasi pada 26 Mac 2006 bagi menampung penumpang yang menaiki AirAsia dan juga penerbangan tambang rendah yang lain.
Sejak perasmian KLIA pada 27 Jun 1998, lapangan terbang ini telah mendapat pelbagai anugerah daripada organisasi-organisasi antarabangsa di seluruh dunia seperti Skytrax dan International Air Transport Association (IATA).
Komitmen yang diberikan KLIA dalam mempromosikan tanggungjawab menjaga alam sekitar kepada para penumpangnya menerima pengiktirafan oleh Green Globe. KLIA juga merupakan satu-satunya lapangan terbang di dunia yang menerima sijil Green Globe 21 pada tahun 2004 dan seterusnya. Dengan usaha yang berterusan untuk menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada penggunanya, lapangan terbang ini telah diiktiraf sebagai antara lima lapangan terbang terbaik di dunia.
Selain itu, KLIA juga merupakan lapangan terbang yang pertama sekali di dunia untuk dianugerahkan sijil Airport Service Quality (ASQ) Assured daripada Airports Council International (ACI).
Kesemua ini membuktikan rakyat Malaysia berkebolehan untuk menghasilkan lapangan terbang antarabangsa yang duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara maju lain.

Syarikat-syarikat Penerbangan Malaysia 

Malaysia Airlines (Penerbangan Malaysia) merupakan syarikat penerbangan Malaysia yang mempunyai lebih 100 destinasi di seluruh dunia. Syarikat ini juga menjalankan operasi penerbangan domestik dan charterSyarikat ini merupakan salah satu daripada 6 syarikat penerbangan lain di seluruh dunia yang mendapat pengiktirafan 5 bintang oleh Skytrax. Penerbangan Malaysia telah diberi kredit oleh IATA melalui IATA Operational Audit kerana perlaksanaan keselamatan operasinya. Tengku Azmil Zahruddin merupakan Pengarah Urusan dan CEO Malaysia Airlines. Slogan syarikatnya ialah 'Going Beyond Expectations, "MH" is more than just an airline code; is Malaysian Hospitality;'. Bukan itu sahaja, Penerbangan Malaysia juga mempunyai subsidiari seperti Firefly, MASwings dan MASkargo. Secara tuntasnya, Penerbangan Malaysia merupakan syarikat penerbangan yang unggul dan terkenal di pentas dunia.











AirAsia ialah syarikat penerbangan nasional kedua Malaysia. Berpangkalan di Malaysia, AirAsia ialah syarikat penerbangan tambang murah pertama di  Asia. Syarikat ini ditubuhkan oleh DRB-HICOM, sebuah konglomerat kerajaan Malaysia. Disebabkan tanggungan hutang yang terlalu tinggi, ia dijual kepada Tune Air yang dipengerusikan oleh Tony Fernandes dengan harga RM 1 sahaja. Penyusunan semula organisasi AirAsia dengan imej dan konsep tambang murah telah membawa kepada perubahan yang besar dan memperoleh keuntungan dalam tempoh masa yang pendek. AirAsia juga berjaya merevolusikan industri penerbangan serantau. Tony Fernandes merupakan CEO syarikat penerbangan AirAsia. Slogan syarikatnya ialah 'Kini Sesiapa Boleh Terbang'. Kejayaan yang diperoleh oleh AirAsia terbukti kemampuan dan kebolehan rakyat Malaysia dalam bidang entrepreneur.

Konklusinya, sistem pengangkutan di Malaysia kini sedang berkembang dengan pesat dan sedang menuju ke arah bertaraf dunia menjelang tahun 2020. Kementerian Pengangkutan komited untuk mentransformasi sistem pengangkutan awam kepada bertaraf dunia terutama di Lembah Klang di bawah Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada April 2009.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan